Followers

SUATU hari ketika seorang hamba membuka sebuah buku yang membincangkan mengenai iman, tanpa disengaja tajuk taubat menjadi pilihannya. Hatinya bekerja keras untuk menghayati setiap perkataan yang dibaca dan akal berfikir kebenarannya.

Akhirnya dia berkata: “Alangkah jauhnya penyelewengan yang sudah aku lakukan selepas Allah memberi petunjuk kepadaku suatu masa dulu.” Tetapi dalam penyesalan itu muncul satu kesyukuran yang terbit daripada hidayah Allah, bahawa betapa beruntungnya dia mendapat kembali hakikat ilmu yang lama hilang daripada jiwanya.

Ada sedikit kebenaran pada perkataan sebahagian ahli makrifah yang bermaksud, ketika seseorang itu jatuh melakukan dosa, janganlah dia berputus asa dari rahmat Allah, tetapi bersyukurlah kerana daripada perlakuan dosa yang disedari itu, lahirlah penyesalan dan taubat.

Kerana dosa yang disedari ini manusia boleh mendekatkan diri dengan Allah. Dosa itu membuatnya menjadi hamba yang cepat bertaubat dan mengakui kelemahan diri di hadapan Allah. Lalu dia sentiasa berhati-hati dalam segala perbuatannya.

Berbanding dengan seseorang yang berasa tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa berasa dirinya betul, sungguh orang seperti ini bertambah jauh dirinya daripada Allah akibat kesombongan melampau atas nama ilmu dan amal.

Selepas menyedari keadaan seperti itu, barulah kita sedar betapa kita perlukan ilmu yang boleh membawa kepada kefahaman dan penghayatan sebenar mengenai diri kita, Allah dan tabiat dunia yang fana ini.

Hakikat ilmu itu, ia datang dan pergi, sehingga Rasulullah SAW pernah mengingatkan sahabat dengan satu perumpamaan yang bermaksud: “Ikatlah ilmu itu kerana ia terlalu cepat hilang berbanding unta yang terikat.

Maknanya setiap insan mesti menyediakan masa untuk hati dan akalnya berinteraksi dengan ilmu. Sesiapapun yang meninggalkan ilmu dalam masa satu hari saja boleh jadi dia akan mengalami gejala kelalaian hingga mungkin jatuh ke lembah kesesatan apabila hal ini berlanjutan sekian lama.

Matlamat manusia mencari ilmu ialah untuk mencapai satu keyakinan mengenai kebenaran, selepas yakin barulah timbul penghayatan yang membawa kepada ketundukan jiwa.

Ada orang berkata: “Tak payah bacalah, sebab kami sudah membaca dan mengetahui ilmu ini.” Memang benar kita sudah faham dan tahu hal itu tetapi apakah kita sudah mencapai penghayatan yang sempurna? Apakah boleh dipastikan ilmu itu sentiasa melekat di hati dan memacu diri untuk sentiasa merapatkan diri dengan Allah?

Seseorang pasti memahami perbezaan dirinya ketika dia sedang minat membaca atau ketika suka membuang masa. Tentulah berbeza keadaan jiwa dan perasaan orang yang suka menelaah, mengkaji dan membahas ilmu berbanding orang yang suka termenung dan mendengar hiburan.

Mungkin kita perlukan pendedahan tajuk ilmu yang sama pada masa tertentu, seperti saat kita sedih ditimpa musibah, tajuk sabar dan syukur adalah sesuai di kala itu. Jika rezeki bertambah atau naik pangkat, pendedahan mengenai alam akhirat mesti lebih difokuskan supaya diri tidak tenggelam dalam nikmat dan tipu daya dunia.

Apabila kurang nikmat ibadah, tidak khusyuk dan rasa keras hati eloklah ingat ilmu zuhud dan mengingati mati. Namun demikian, segala ilmu berpusat pada induknya iaitu al-Quran dan hadis. Barang siapa menginginkan kesempurnaan ilmu mestilah mendekatkan diri kepada keduanya..

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai ahli kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi al-Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan. Dengan Kitab itulah Allah menunjukkan orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang itu dari gelap-gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya, dan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Surah al-Maidah, ayat 15-16)

Bagaimana halnya dengan orang yang sudah mencapai darjat alim yang tinggi? Adakah perlu baginya membaca dan menuntut ilmu lagi selepas kedudukannya itu? Alangkah baiknya jawapan al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah, ulama Tabi’in tersohor pada zamannya apabila ditanya hal ini: “Siapakah manusia yang paling berhajat kepada ilmu? Beliau berkata: Orang yang paling alim di kalangan mereka. Beliau ditanya lagi: Mengapa begitu? Dijawabnya: Kerana kesalahan orang yang alim dalam ilmunya lebih jahat dan teruk berbanding orang jahil.

Orang yang pandai membeza antara hak dan batil tetapi memilih yang batil kerana hawa nafsunya tentu amat besar dosa diperolehnya akibat melanggar larangan Allah. Bukan kerana jahil tetapi ‘terlalu cerdik’ sehinggakan akalnya mahu berdolak-dalih untuk menghalalkan apa yang nyata haram di sisi agama, semata-mata menurut hawa nafsu manusia.

Bukan setakat itu saja, dia pula mengajak orang lain melakukan jenayah sama atas nama kecerdikan dan kewarasan palsu. Jelaslah bahayanya orang alim melakukan kejahatan dengan jenayah ilmunya yang tidak dipraktikkan semata-mata kerana mahu mengikut hawa nafsu manusia.

Sungguh pelik, orang yang jauh dan mendalam ilmunya mengenai Allah tetapi sekelip mata boleh berpaling daripada-Nya. Mereka adalah orang yang mengenal kejahatan syaitan tetapi sebaliknya boleh terpedaya menjadi pengikut syaitan.

Mereka adalah orang yang mengenal tipu daya dunia tetapi rela menjadi hamba dunia yang hina. Di situlah letaknya kelemahan manusia, setinggi mana ilmu diperoleh namun jika hidayah Allah tidak bersamanya maka segala kefahaman agama dan penghayatan hakiki menjadi sia-sia. Dalam keghairahan menuntut ilmu, jangan lupa memohon petunjuk dan hidayah Allah supaya ilmu itu bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

Kerana ilmu yang sudah terpahat dalam ingatan dan hati sanubari tidak dijamin dapat kekal selamanya melainkan atas kuasa Allah. Adakalanya seseorang itu tidak mendapat hidayah daripada ilmu yang dituntutnya, belajar mengaji bertahun-tahun tetapi perangai tak berubah-ubah, akhlak dan ibadatnya masih seperti ketika dia tidak berilmu. Jadi untuk apa letih-letih mencari ilmu jika tiada penghayatan?

Ada pula orang yang belajar hanya setakat ilmu Taharah, selama bertahun-tahun diulang-ulang lagi tanpa ada peningkatan. Takkan nak main air saja, bila lagi masa untuk belajar sembahyang yang khusyuk, memahami doa yang dibaca, belajar tafsir al-Quran dan mengikuti al-Hadis? Akhirnya orang ini tak sampai pada tujuan sebenar kerana hampir tiada peningkatan iman yang ketara.

Al-Imam Ibnu Abdul Barri meriwayatkan daripada Abu Ghassan, katanya: “Kamu sentiasa menjadi alim selagi mana kamu tetap menuntut ilmu, apabila kamu merasa cukup maka sesungguhnya kamu telah menjadi jahil.”

Perjalanan mencapai reda Allah tiada penghujungnya. Bagaimana mungkin seseorang boleh berkata: “Telah cukup ilmuku dan telah baik amalanku.” Padahal perkataan itu umpama rantai yang mengikat kakinya ke bumi sehingga dia tidak akan sampai ke destinasi yang dijanjikan Tuhannya.

0 Comments:

Post a Comment



~ halwa telinga ~


 

Blogger Template | Created by Adam Every