Followers

maafkan...

Malam semalam, satu email sangat “mengganggu”. Bicaranya berbau sendu. Penghantar dukanya sekian lama. Malangnya, yang ditujukan untuk mendapat rawatan adalah aku… pesakit sepertinya jua. Namun harapannya adalah terlalu tinggi untuk dikecewakan. Walau berat ku guriiskan juga rasa hati ini semuga jadi rintihan bersama. Kunamakan tulisan ini MAAFKAN… Ayuh, kita telusuri bersama:

Selagi kau tidak bahagia dengan kebahagiaan orang lain… itu petanda kau sendiri tidak bahagia. Kau mesti bahagia melihat “musuh-musuh”mu bahagia. Walaupun pernah disakiti sekali, kau akan disakiti berkali-kali jika terus mengenang perbuatan mereka. Dan paling derita, jika kau merasakan mereka sedang membina istana kebahagiaan di atas tapak kedukaanmu!

Wahai diri, ingatlah, segala gerak dan laku makhluk adalah dengan izin Allah jua. Jika datang orang “menghadiahkan” air mata… Allah sedang mendidikmu tentang sifat sabar. Jangan dilihat manusia yang menjadi “sebab”, lihat dengan mata hati yang Allah jua yang menjadi “musabbabil asbab”.

Jika kau di sakiti oleh dia, DIA sedang mengajarmu erti reda. Kita bukan malaikat untuk terus pasrah tanpa terusik oleh calar dan cakar insan. Namun, ada ketika-ketika yang sangat kritikal untuk kita bertahan dan katakan… tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini.

Mungkin sahaja “penjahat” yang pandai bermuka-muka akan terus dijulang sebagai wira. Dan hamba sejati yang mempunyai “hati emas”, akan terus dihenyak sebagai sandera (tawanan) di penjara hiba dan cela. Bahagialah dengan kebahagiaan orang lain. Terimalah hakikat kita bukan Tuhan yang mencatur rezeki dan nikmat untuk hamba-hamba-Nya. Jangan kau tanyakan mengapa dia yang dilebihkan, aku dikurangkan? Mengapa dia yang licik dengan gelecek segala strategik dimenangkan sedang aku yang bersenjatakan kebenaran dan kesederhanaan selalu dikalahkan?

Di sini tidak lama. Di SANA jua tempat berehat segala penat. Keyakinan terhadap hari akhirat, akan menyebabkan kita kuat menghadapi tipuan dunia. Keimanan kepada Tuhan akan menimbulkan rasa sabar menghadapi karenah insan. Belajarlah daripada Nabi Yahya AS dan Zakaria AS yang digergaji mati tanpa dapat melihat bunga-bunga kemenangan. Belajarlah dari Sumaiyah dan Yassir yang terbunuh tanpa semmpat melihat daulah Islamiah dan empayar Islam berkembang.

Mereka tidak dapat kemenangan… tetapi mereka tidak hilang ketenangan!

Wahai diriku, mereka (salafussoleh itu) menjadi “besar” kerana menghadapi ujian yang besar. Mereka “mempertaruhkan” nyawa. Pada hal aku, kamu dan kita terlalu kecil justeru yang dipertaruhkan cuma “harga diri”. Terasa diri ditipu, dipersenda dan diperkotak-katikan serta tidak dihargai. Sedarilah, yang tercabar bukan harga dirimu tetapi keegoanmu! Harga diri itu milik kita selamanya. Tidak akan luput dan dapat dicabut oleh orang lain.

Jangan bimbang jika tidak dihargai, tetapi bimbanglah jika benar-benar kita tidak berharga. Di mata siapa? Di mata diri sendiri. Namun ego itulah yang selalu menuntut pengiktirafan dan sanjungan. Hati yang ego bertuhankan “maddiah” (material dan fizikal). Bila syaitan berbicara tentang ketinggian api berbanding tanah sebagai asal usul kejadian dan ukurtara kemuliaan… dia memberontak. Merasa Adam dilebihkan.

Syaitan tidak bahagia dengan “kebahagiaan” Adam.

Akibat marah, cemburu, derita, kecewa lalu dibujuknya datuk dan nenek kita (Nabi Adam dan Siti Hawa) dengan strategi dan rencana untuk maksud yang satu: BIAR HILANG KEBAHAGIAN MANUSIA. Agar bertempat bersamanya di neraka – derita selama-lamanya. Wahai diri, beringat-ingatlah akan tipuan syaitan bila kau tidak bahagia dengan kebahagiaan orang lain. Itulah rasa yang sangat merbahaya. Itulah pintu rasukan syaitan bila kau sendiri mendakap kejahatan warisannya sejak lama.

Wahai diriku, Mulakanlah langkah mencari bahagia dengan merasakan bahagia melihat kebahagiaan orang lain. Langkah pertama itu ialah MEMBERI MAAF.

(*** Bila sampai di tahap ini, kusambung tulisan ini dengan satu nukilan yang pernah kucatatkan dalam majalah ANIS. Renungilah semula untuk meneruskan muhasabah ini.)

Ah, terlalu sukar memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-iang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah ‘orang-orang bersalah’ itu terasa begitu menjengkilkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri.

Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk disorong-tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit, bila mengenangkan ‘musuh-musuh’ itu tersenyum dengan kemenangan. Namun itu hanya bisik ‘hati besar’ku. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri… ada suara lain yang bergetar. ‘Hati kecil’ yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa.

Maafkan… lupakan, cintakan, sayangkan. Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu. Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman yang bermaksud, tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan. Nesacaya engkau akan dapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara. Wahai diri, api jangan dilawan dengan api.

Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya. Musuh-musuh mu terus ketawa, sedangkan kau sendiri menderita meneguk bisa. Musim-musim berlalu sewajarnya mendewasakan aku. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila ‘fatamorgana’ itu berlalu, aku akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya.

Apakah akan kuterjah perangkap itu berkali-kali? Oh, tidak. Mukmin tidak akan terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu maksud sebuah sabda. Justeru? Cukup sekali! Biarlah musuh itu ketawa sepuas-puasnya. Beban rasa ini biarlah aku letakkan. Tidak akan kubawa dalam safar kehidupan yang pendek itu. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri.

Memaafkan orang lain, bererti memaafkan diri sendiri. Kata bijak pandai - what you give, you get back – apa yang kita berikan akan kita terima kembali.” Ah, betapa leganya sekarang… Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan.

Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar dalam tazkirah – yang punya tabsyir dan inzar – bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya ‘syurga’ yang fana, sebelum syurga yang baqa. Kini hatiku tertanya-tanya lagi… siapa aku, yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan?

Aku hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa aku yang kerdil dan kecil itu untuk terus berdendam? Ya, Allah, ampunkan aku. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang… aku ‘terlanjur’ menumpang hak-MU. Aku tidak sekali-kali disakiti oleh-MU wahai Allah, begitu juga oleh hamba-hamba-MU… tetapi aku disakiti oleh ego ku sendiri!

sumber : www.genta-rasa.com

0 Comments:

Post a Comment




Photobucket

~ halwa telinga ~


 

Blogger Template | Created by Adam Every